• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

TIPCO 2017 Bakal Promosi Terengganu

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam TIPCO 2017 bersama dengan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak di Quinara Al-Safir, Kuala Nerus. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Terengganu International Paragliding Competition (TIPCO) 2017 yang bakal memulakan cabarannya esok di Bukit Bubus, Besut akan dijadikan medan untuk mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata program bertaraf antarabangsa yang pertama kali dianjurkan oleh kerajaan negeri itu juga bakal membuka laluan untuk terus mengajurkan kejohanan-kejohanan lain.

Katanya, kejohanan paragliding yang menghimpunkan lebih 90 peserta daripada 24 negara tersebut dijangkakan akan menarik ikon-ikon dalan sukan paragliding untuk datang ke Terengganu.

"Bagi kejohanan kali ini, kita turut melibatkan jaguh-jaguh dalam sukan paragliding seperti pemenang anugerah National Geographic 2012, Sano Babu Sunuwar dari Nepal dan juga peserta yang sudah lama berkecimpung dalam sukan paragliding serta dianggap macam 'otai' dalam sukan ini.

"Kita amat teruja kerana ikon-ikon ini mempunyai pengikut-pengikut tersendiri dan daripada setiap penyertaan dalam paragliding ini mereka akan paparkan di media sosial sekaligus memperkenalkan venue sukan yang disediakan kepada mereka," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Makan Malam Dan Sidang Media Sempena TIPCO 2017 di Quinara Al-Safir, Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir Presiden Biro Paragliding Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), Kapten Mohd Arif Ibrahim dan Pengurus Acara, Anuar Ngah.


Tambah Tun Ahmad Faisal, beliau percaya kawasan pertandingan untuk TIPCO 2017 adalah diantara venue terbaik untuk sukan paragliding dari aspek teknikal sukan serta daripada aspek yang boleh mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

"Peserta yang terbang ini akan mengambil video pemandangan di sekitar tempat pertandingan serta laluan-laluan mereka dan inilah yang kita harapkan dapat ditonjolkan melalui penyertaan begitu ramai peserta-peserta dari luar negara dalam TIPCO 2017.

"Walaupun paragliding ini merupakan satu sukan, mereka akan membantu mempromosikan Terengganu kerana pelancongan turut berkembang ke arah pelancongan sukan," katanya.

Dalam pada itu, Tun Ahmad Faisal berharap pengajuran TIPCO dapat membuka mata lebih banyak lagi pihak-pihak lain untuk menyokong sukan paragliding ke arah Malaysia menganjurkan kejohanan bertaraf dunia dalam sukan itu.

Katanya, jika program itu dapat membuka mata dan minat banyak pihak, ianya sekaligus akan dapat lebih banyak sokongan (penajaan) termasuk daripada sektor korporat untuk menganjurkan sukan paragliding serta sukan-sukan udara lain yang bertaraf antarabangsa.

Tag: