• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Titian Muhibah' Realisasikan Impian Usahawan Terengganu Tembus Pasaran Indonesia

KUALA TERENGGANU, 26 Mei - 'Titian Muhibah' bukan sahaja mengeratkan hubungan Terengganu dan Indonesia melalui dunia perdagangan malah turut merealisasikan impian usahawan Terengganu  untuk mengeksport produk dari negeri ini ke Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, menebusi pasaran negara republik itu merupakan impian setiap usahawan kerana ia memiliki pasaran yang terbesar di dalam negara ASEAN.

"Ini terbukti melalui kejayaan 100 orang usahawan dari Malaysia khususnya dari Terengganu akan menjadi pendorong kepada usahawan lain untuk turut serta memasarkan produk mereka ke Indonesia.

"Tahniah juga kepada 16 usahawan yang telah berjaya mendapat kelulusan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) bagi 22 produk, iaitu syarat utama yang telah ditetapkan bagi memasarkan produk ke Indonesia.

"Saya merasa bangga kerana sembilan daripada 16 usahawan ini merupakan rakyat Terengganu, kerjasama daripada semua pihak MATRADE yang diadakan pada hari ini amat disambut baik oleh Kerajaan Negeri Terengganu kerana ia dapat membantu meluaskan lagi produk usahawan Terengganu ke peringkat antarabangsa," ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan ketika mengadakan lawatan ke negara berkenaan baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar malaysia di dunia dan rakan dagang ketiga terbesar dalam ASEAN selepas Singapura dan Thailand sepanjang tahun lalu.

"Perdagangan dua hala Malaysia dengan Indonesia bernilai RM111.21 bilion berkurang sebanyak 14.3 peratus daripada RM129.70 bilion direkodkan dalam tahun 2022.

"Manakala eksport dan import mencatatkan sejumlah RM50.91 bilion, menurun sebanyak 8.7 peratus dan RM60.3 bilion, berkurang 18.5 peratus.

"Diharap dengan penganjuran program ini dapat meningkatkan lagi perdagangan dua hala Malaysia dan Indonesia," ujar beliau.