• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

TMJ Ulas Hukuman Terhadap Dollah Salleh

TMJ ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Eksekutif FAM Sesi 2017 di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, semalam. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail 

Sesiapa sahaja tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Malah saya sendiri dan Tan Sri Annuar Musa (Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan) juga pernah digantung sebelum ini, kata presidennya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya, semua pemain dan pegawai tanpa mengira pangkat dan kedudukan adalah tertakluk kepada peraturan dan mereka yang melakukan kesalahan tetap akan menerima hukuman.

TMJ berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Eksekutif FAM Sesi 2017 di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya sebagai mengulas keputusan Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu menggantung 18 bulan dan didenda RM30,000 terhadap ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang lantang mengkritik mutu pengadilan.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.

Dollah yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan itu turut dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM membabitkan pengadilan Liga Malaysia (LIga M) selepas perlawanan Pahang bertemu FELDA United, pada 1 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, berkata Dollah didapati melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.

Bagaimanapun, TMJ menjelaskan bahawa Dollah masih boleh membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman yang dikenakan dalam tempoh 10 hari bermula semalam.

TMJ berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan berhubung prestasi pengadil dalam Liga M, namun ia ada batasannya dan ada perkara tertentu yang tidak boleh dikeluarkan.

"Apa yang berlaku terhadap bekas pengendali kebangsaan itu seolah-olah dia menuduh pihak atasan yang mengatur perlawanan dalam Liga M. Jika  pihak atasan (FAM) atau tuduhan terhadap saya yang mengatur perlawanan, sudah pasti JDT memenangi Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini. Betul ke tidak.

"Jadi, dari mana datangnya idea dia (Dollah) itu yang mengatakan pihak atasan mengatur perlawanan,”katanya lagi.



Tag: