lightning-solid
Berita :
TOD ECRL Tarik Minat Pelabur, Permintaan Diterima Termasuk Kargo di Chukai
TOD ECRL Tarik Minat Pelabur, Permintaan Diterima Termasuk Kargo di Chukai
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
40

DUNGUN, 3 Januari - Pembangunan Transit Oriented Development (TOD) Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mula menunjukkan perkembangan positif apabila kerajaan negeri mengesahkan telah menerima permintaan dan cadangan awal daripada pelabur, termasuk melibatkan pembangunan kargo di Chukai, Kemaman.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) , Dato' Rosli Latif berkata, memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang ditandatangani sebelum ini merupakan antara strategi utama bagi menarik pelabur dan mempercepatkan pembangunan TOD di negeri ini.

SYA_7283.JPG 6.81 MB
"MoU kita dengan MRL yang dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Menteri Besar adalah salah satu daripada strategi kita di dalam membangunkan TOD. 

"Matlamat utama kita ada dua sahaja, yang pertama kita nak mempromosikan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk membangunkan TOD dan yang kedua kita nak share information dengan MRL (Malaysia Rail Link) berkaitan dengan pembangunan TOD," katanya.

Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri telah menerima beberapa pertanyaan daripada pelabur berpotensi, dengan perkembangan paling ketara melibatkan kawasan Chukai.

"Setakat hari ini memang kita ada terima permintaan daripada beberapa pelabur, pelabur berpotensi yang ingin membangunkan TOD. 

"Setakat ini yang nampak ada konkrit 'enquiry' ada di Kemaman, di Chukai. Itu nampak ada yang dah hantar kertas cadangan kepada kita," jelasnya.

Beliau berkata, pembangunan di Chukai melibatkan servis kargo dan penumpang, sekali gus menjadikan kawasan tersebut antara hentian strategik dalam rangkaian ECRL di Terengganu.

"Chukai untuk kargo. Tapi dalam masa yang sama penumpang pun boleh. Di Chukai ini ada dua-dua fungsi, kargo dan juga penumpang," ujarnya kepada pemberita.

Tambah beliau, fungsi sama turut dirancang di Dungun, yang bakal menjadi antara hab kargo bagi menyokong pergerakan penumpang dan aktiviti logistik di Pantai Timur.

SYA_7240.JPG 6.38 MB
Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham menegaskan bahawa pembangunan TOD dilaksanakan lebih awal bagi memastikan pelabur yakin serta bersedia apabila ECRL mula beroperasi kelak.

"Kalau kita tak mulakan ini, kita bimbang takut nanti pelabur-pelabur pun tidak berminat untuk datang dan tidak ada kemajuan dari segi TOD kawasan ini," tegasnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri berusaha menyediakan infrastruktur asas yang strategik bagi memberi ruang kepada pelabur yang berminat memanfaatkan kemudahan ECRL.

"Sebab itu kita berusaha untuk menyediakan infrastruktur yang sebaik yang paling minimum bagi kita untuk memberikan ruang kepada mereka yang berminat untuk melabur, seterusnya seiring dengan pembukaan ECRL nanti," katanya.

Terdahulu, pada November 2025, Kerajaan Terengganu memeterai MoU bersama MRL sebagai langkah strategik memperkasa TOD di sekitar stesen ECRL negeri itu.

Langkah strategik tersebut turut melibatkan pembangunan hampir 600 hektar tanah kerajaan secara tersusun dan berintegriti, merangkumi perumahan mampu milik, rangkaian pengangkutan serta pertumbuhan ekonomi setempat yang saling menyokong.


Artikel Berkaitan