• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Trak Air Bersih Dihantar Ke PKRC UMT

KUALA NERUS, 11 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim mengambil langkah segera setelah menerima aduan masalah bekalan air bersih yang dihadapi petugas kesihatan dan pesakit COVID-19 yang dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Katanya, gangguan bekalan air yang melanda beberapa tempat di daerah ini dan Kuala Terengganu sejak 2 Ogos lalu turut menjejaskan keperluan lebih 300 pesakit COVID-19 dipusat itu yang amat memerlukan sokongan air bersih mencukupi.

Susulan itu, Hishammuddin berkata, antara tindakan segera diusahakan pihaknya adalah dengan menghantar sebuah trak isian air bersih untuk dimuatkan ke rumah pam asrama yang berkapasiti 30,000 liter.

"Selain itu, kita juga menghantar 200 kotak air mineral 1.5 liter ke Bilik Gerakan PKRC, UMT dan saya juga telah hubungi pihak Radicare untuk menyegerakan urusan pembuangan sisa disana," ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya, sebelum ini, Syarikat Air Terengganu (SATU) setiap hari menghantar 'tanker' air untuk membuat isian dan sebuah 'tanker' bomba berkapasiti 22,000 liter. 

"Disebabkan aduan demi aduan diterima, saya segerakan beberapa tindakan untuk membantu petugas kesihatan dan pesakit COVID-19 yang dikuarantin di PKRC ini termasuk pelajar yang diisolasi. 

"Terima kasih pihak pentadbiran UMT yang sentiasa membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menguruskan PKRC dan terima kasih juga buat Matroon Aini serta semua pasukan kerja yang menguruskan PKRC dalam situasi mencabar seminggu dua ini, " ujarnya.


Tag: