• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Terengganu Cycling Team (TSG) kini dalam fasa akhir persiapan sebelum pasukan itu berlepas ke Turki, esok.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood menjelaskan, hanya empat pelumba tempatan yang akan menyertai sesi latihan di Turki iaitu Mohd Harrif Saleh, Irwandie Lakasek, Mohammad Nur Aiman Mohd Zariff dan Wan Abdul Rahman Hamdan.

"Sebelum ini, kita maklumkan semua rider akan turut serta, tetapi barisan kejurulatihan telah memutuskan bahawa seramai empat pelumba tempatan sahaja akan berlatih di sana. Manakala, kelima-lima pelumba import akan terlibat dalam sesi tersebut. Ini adalah keputusan pihak kejurulatihan dan antara sebabnya mungkin akibat penundaan  perlumbaan Tour du Rwanda yang dijadualkan pada 21 Februari ini ke bulan Mei.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu TSG dalam proses untuk ke Turki terutamanya Kerajaan Terengganu, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan paling utama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana membenarkan kita untuk menjalani latihan seterusnya memungut sebanyak mana mata yang boleh sekali gus mempersiapkan atlet untuk Sukan SEA dan Sukan Olimpik 2021," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabat TSG, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, sepanjang sebulan di sana, pasukan TSG akan turut menyertai enam perlumbaan dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun berdepan kekangan pandemik Covid-19 buat masa ini.

Bagi pelumba yang berlatih dalam negara pula, TSG memaklumkan latihan tetap diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan MKN. 

"Oleh kerana situasi masa ini, kita juga telah mendapatkan kebenaran PDRM untuk menjalankan latihan berbasikal melebihi jarak 10KM daripada yang ditetapkan dan Alhamdulillah telah diluluskan, saya juga mengucapkan terima kasih kerana memahami situasi TSG.

"Tahun 2020, kita dapat menyertai beberapa kejohanan sahaja. Jadi tahun ini, kita akan cuba yang terbaik untuk memuaskan hati semua pihak," katanya.

Menurut Che Ku Izmuddin, TSG ingin membuktikan kemampuan pasukan sebagaimana tahun 2019 lalu apabila berjaya berada di kedudukan pertama UCI Tour dan menjadi satu-satunya pasukan Malaysia yang berada dalam ranking dunia di kedudukan ke-28.

Namun, masih ada kekangan yang perlu diatasi terutama dalam pandemik ini kerana ia bukan sahaja melibatkan kesihatan awam tetapi terkesan juga pada ekonomi.

"Buat masa ini, seluruh pasukan TSG bersih dari jangkitan covid-19. Kami sentiasa meminta kakitangan dan pengurusan mengamalkan SOP secara konsisten. Tambahan pula, pada peringkat dunia juga mengikut SOP yang sama," katanya.

 

 

 


Tag: