KUALA TERENGGANU, 27 November - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dengan seramai 3,907 orang daripada 1,185 keluarga kini berlindung di 43 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di tujuh daerah iaitu Marang, Besut, Dungun, Kuala Terengganu, Setiu , Kemaman dan Hulu Terengganu.
Data terkini menerusi portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 8 pagi ini menunjukkan daerah Marang mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 1,792 orang daripada 551 keluarga dipindahkan ke lapan PPS.
Sementara itu, di daerah Setiu, seramai 1,473 mangsa daripada 435 keluarga dipindahkan ke 20 PPS .
Daerah Besut merekodkan seramai 186 mangsa daripada 57 keluarga dipindahkan ke enam PPS.
Daerah Kuala Terengganu pula mencatatkan 180 mangsa daripada 86 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS.
Di daerah Dungun, seramai 114 mangsa daripada 23 keluarga dipindahkan ke empat PPS.
Manakala seramai 159 mangsa daripada 32 keluarga berlindung di tiga PPS di Hulu Terengganu.
Dan daerah Kemaman mencatatkan tiga mangsa daripada sebuah keluarga dipindahkan ke sebuah PPS.
Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa.