• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Tujuh Strategi Jana Pendapatan Baharu

KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan Terengganu mewujudkan portfolio pendapatan baharu bagi menjana pendapatan negeri dengan merancang tujuh strategi untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata strategi tersebut termasuk kajian semula cukai, serahan GLC, sumber galian dan mineral, sumber batuan, sumber air, sumber hijau serta fi pelancongan dan rekreasi dengan jumlah jangkaan nilai hasil (secara berfasa) sebanyak RM1 bilion pada tahun 2030.

Katanya hala tuju pendapatan baharu adalah dengan mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ir Saiful Azmi dalam soalannya ingin tahu definisi dan hala tuju portfolio pendapatan baharu dalam portfolio Kerajaan Negeri.

Mohd Nurkhuzaini yang juga ADUN Kota Putera menjelaskan bahawa definisi pendapatan baharu dalam portfolio Kerajaan Negeri ialah hasil yang diperolehi daripada sumber sedia ada dan baharu yang berpotensi menjana hasil pendapatan kepada negeri, selain mengurangkan kebergantungan kepada royalti minyak dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak.

"Bidang tugas bagi portfolio ini adalah bertanggungjawab merancang, menyelaras dan menjayakan pelan penjanaan pendapatan baharu negeri serta membangunkan industri baharu selain minyak dan gas seperti galian dan sumber alam sekitar," jelasnya.

Katanya dua fokus utama terkini adalah di dalam sektor Teknologi Hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE).

Menurut beliau pada tahun 2030, permintaan minyak di Terengganu dijangka menurun sebanyak 25 peratus.

"Sehubungan dengan itu, satu Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu telah diluluskan di Mesyuarat Majlis Tindakan PITAS bertarikh 17 Januari 2023 dengan tujuan merangka strategi penjanaan pendapatan baharu kepada negeri," ujarnya lagi.


Tag: