• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tumpu Tujuh Keutamaan Untuk Bangunkan Rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Tujuh bidang keutamaan perlu diberikan tumpuan oleh semua pihak untuk membangunkan kapasiti rakyat dan negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, modal insan dan kesejahteraan sosial merupakan tonggak paling utama yang mesti dibangunkan.

"Kita perlu bina generasi yang mempunyai mentaliti dan budaya yang cemerlang dalam menjalani kehidupan.

“Seterusnya, Revolusi Industri 4.0 memandangkan pentadbiran kerajaan, golongan usahawan, sektor pertanian harus menjalani pemodenan antaranya dengan mendigitalkan perkhidmatan kerajaan secara berterusan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Terengganu Sejahtera ‘Ke Arah Terengganu Berdaya Tahan’ di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dari sudut kewangan dan ekonomi, dalam keterbatasan sumber hasil, hubungan dan kerjasama serta dasar dan inisiatif oleh Persekutuan perlu dimanfaatkan secara optimum untuk manfaat rakyat dan negeri ini.  

“Sumber hasil juga perlu diperluas melalui strategi jangka sederhana dan panjang; perbelanjaan dioptimumkan dengan mengaplikasikan outcome-based budgeting,” ujarnya.

Keempat katanya, melibatkan perniagaan dan keusahawanan dimana perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini mesti ditingkatkan kebolehcapaian mereka kepada pembiayaan formal; penggunaan teknologi dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D); serta penglibatan dalam rantaian nilai di peringkat nasional dan global.

Ahmad Samsuri berkata, dari sudut pertanian dan sekuriti makanan pula katanya, pengeluaran hasil pertanian mesti ditumpu kepada komoditi makanan yang utama terutamanya beras, ikan dan daging di samping buah-buahan dan sayur-sayuran. Justeru, kesemua tanah pertanian mesti dimanfaatkan, pengeluaran bahan mentah makanan haiwan ditingkatkan dan peratus pekerja dalam sektor pertanian perlu digalakkan.

Menurut beliau, keenam melibatkan kepenggunaan dan kos sara hidup. Bagi menjamin bekalan dan harga makanan yang stabil, Terengganu mesti membangunkan ‘food value chain’ sendiri dengan melibatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri dan PMKS tempatan. 

“Bantuan-bantuan kebajikan daripada pelbagai pihak perlu diintegrasikan dan diperkemas pangkalan data penerima, syarat kelayakan, bentuk bantuan serta proses permohonan, kelulusan dan agihan,” ujarnya.

Dan ketujuh katanya, melibatkan aspek kelestarian pembangunan dan pembandaran.

“Dengan adanya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada Disember 2026, diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negeri dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan seterusnya meningkatkan pendapatan negeri dan juga rakyat. Pada masa yang sama, perlindungan alam sekitar mesti sentiasa menjadi keutamaan semua pihak yang terlibat dalam projek pembangunan,” ujarnya

Terdahulu beliau berkata, kerajaan negeri perlu merencanakan agenda yang menyeluruh dan bersepadu bagi merealisasikan matlamat Terengganu yang Berdaya Tahan (A Resilient Terengganu).

“Agenda ke hadapan perlu mengambil kira cabaran dan peluang yang ada serta sewajarnya diterjemahkan dengan berkesan menerusi pelan strategik berkaitan pelbagai bidang dan menerusi belanjawan tahunan supaya dapat menjamin ketersediaan sumber dan menggerakkan kebersamaan seluruh jentera kerajaan, pihak swasta dan orang awam.

“Justeru, penganjuran persidangan ini dilihat amat penting dalam mencapai tujuan ini,” ujarnya.