• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ukom Juara Kejohanan Futsal Epic


Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) muncul sebagai juara Kejohanan Futsal Jemputan EPIC 2017 yang berlangsung di Sports Planet Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam kejohanan julung kali anjuran anak syarikat kerajaan negeri itu, Ukom menewaskan pasukan Dun Bandar dengan keputusan 2-1.

Ukom terlebih dahulu membuka jaringan pada perlawanan tersebut, namun Dun Bandar menyamakan kedudukan tidak lama kemudian.

Semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Ukom nyata membuahkan hasil apabila berjaya menambah jaringan sebelum wisel penamat dibunyikan.

Sebelum itu, Ukom terpaksa melalui laluan yang agak sukar pada pusingan separuh akhir berdepan Syarikat Air Terengganu (Satu) sehinggakan perlawanan tersebut ditentukan dengan sepakan penentuan penalti.

Pengarah Ukom, Dato' Muda Mamat berkata walaupun pertama kali Ukom menyertai kejohanan futsal, namun pemain-pemain menunjukkan prestasi yang amat membanggakan.

"Selain dari tugas-tugas hakiki yang dilakukan oleh pemain pasukan kami, mereka juga mampu untuk bersukan.

"Saya amat berbangga dengan prestasi memberangsangkan ini serta kejayaan pasukan yang dinobatkan sebagai johan bagi kejohanan anjuran Epic itu," katanya ketika dihubungi.

Dengan kemenangan tersebut, Ukom membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, piala kejohanan, dan medal.

Tag: