• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

UMNO, Bersatu Anggota Baharu JPKK Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 November – Penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021 dan dianggotai ahli UMNO serta Bersatu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebahagian negeri sedang dalam proses pelaksanaan, MPKK sedia ada akan tamat tempoh pada 31 Disember 2020 dengan penjenamaan semula tersebut.

“Buat masa sekarang di Terengganu, terdapat 1,047 buah MPKK di serata negeri diikuti tiga MPKK di Kampung Baru Cina yang ditadbir urus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menjadikan kesemua cawangan sebanyak 1,050 MPKK dari Kemaman sehingga Besut.

“Pihak berkuasa negeri bersetuju untuk menjemput rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional seperti UMNO dan Bersatu dalam menganggotai JPKK menjelang tahun hadapan dengan tambahan lima kuota lantikan bersama 15 anggota jawatankuasa lain.

“Komponen tiga parti akan memenuhi jawatankuasa tersebut bagi memupuk lagi semangat muafakat dalam menjaga kampung dan sebagai pelaksana dasar kerajaan serta berperanan dalam pembangunan dan keselamatan di peringkat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut mengenai langkah yang diambil kerajaan itu, beliau berkata, kajian dan pemutihan semula akan dijalankan kerana sebahagian MPKK mempunyai bilangan rumah yang terlalu banyak dan kurang daripada minima 100 buah rumah.

“Pejabat Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan (SUK) sedang membuat kajian tentang perkara ini dan insya-Allah akan mencadangkan kerajaan dengan data dan maklumat. Ini supaya JPKK dapat berfungsi dengan lebih efisyen.

“Proses lantikan akan bermula dengan makluman tamat tempoh dan kekosongan MPKK sedia ada yang dimaklumkan oleh kerajaan negeri melalui pejabat SUK kepada Pejabat Daerah. Kemudian, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat akan mencadangkan nama-nama melalui borang yang disediakan untuk angkat ke Jawatankuasa Panel Penilaian Anggota setiap daerah.

“Peringkat daerah akan mengesahkan nama tersebut seterusnya diangkat kepada pihak berkuasa yang melantik iaitu Menteri besar. Proses ini tidak rumit,” ulasnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memberhentikan bayaran geran kepada MPKK buat tahun 2020.

“Sebelum ini pada tahun 2019, RM10,000 disalurkan kepada setiap MPKK. Tahun ini, kerajaan negeri mengambil alih penyaluran geran dan memutuskan bantuan secara ‘one-off’ RM4,000 disebabkan COVID-19. Insya-Allah tahun hadapan kerajaan akan beri komitmen dalam isu ini dan akan diputuskan tahun depan,” katanya lagi.