• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

UniSZA Tubuh Persatuan Perhubungan Awam Pertama Di Pantai Timur

KUALA TERENGGANU, 19 Disember – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan universiti pertama di Pantai Timur yang berjaya menubuhkan sebuah persatuan perhubungan awam pelajar, 'Institute of Public Relations Malaysia Student Association' (IPRMSA) bertujuan untuk menyatukan para mahasiswa dalam bidang perhubungan awam (PR).

Kejayaan itu dicapai pada Oktober lalu,dengan majlis pelancaran dan forum atas talian bersama sesi perkongsian tentang dunia PR dan aktiviti-aktiviti berkenaan Institute of Public Relations Malaysia (IPRM).

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA, Professor Madya Dr. Mohd Nazri Latiff Azmi, berkata, bersama cogan kata “penglibatan tanpa batasan”, IPRMSA akan menjadi sebuah platform yang berpotensi bagi meningkatkan pengetahuan dan keupayaan dalam perhubungan awam serta meluaskan lagi kenalan.

Mengulas berkenaan kerjasama antara IPRSMA Unisza, Professor Dr. Kiranjit Kaur, berkata, kolaborasi ini bukan sahaja menyediakan satu wadah untuk pembangunan diri malah menyumbang kepada kemajuan dan transformasi dalam industri perhubungan awam.

“Bahkan juga, ia memberi pendedahan kepada perkembangan terkini dalam bidang pekerjaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Nazri Abu Hassan, presiden IPRMSA UniSZA, mengulas, “Kami akan memanfaatkan kelab ini sebaik mungkin bukan sahaja bagi UniSZA tetapi keseluruhan komuniti di Terengganu,” ulasnya.

Sementara itu, Penasihat IPRSMA UniSZA, Dr. Siti Zanariah Haji Yusoff, mengulas perancangan UniSZA dalam menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dengan Media Kontemporari.

“Dengan penubuhan persatuan ini juga diharap agar menjadi batu loncatan bagi menunjukkan kesediaan terhadap kursus terbaharu yang dalam perancangan untuk ditawarkan,” katanya.

Untuk rekod, acara berkenaan merasmikan penubuhan 'IPRMSA UniSZA Chapter' pertama di Pantai Timur, menjadikan persatuan ke-11 di Malaysia yang menyertainya bersama universiti berprestij lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM dan banyak lagi.


Diterjemahkan oleh: Nur Farah Amirah Hamzah