• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

UPSR 2016: Danial Sayu Tidak Mampu Kongsi Kejayaan Dengan Arwah Bapa


“Saya nekad mahu belajar bersungguh-sungguh kerana mahu membuktikan membesar sebagai anak yatim masih boleh berjaya seperti orang lain.

“Dalam gembira, ada sedihnya sebab tidak mampu berkongsi kejayaan ini bersama bapa yang meninggal dunia akibat sakit paru-paru berair sepuluh tahun lalu, ketika saya berusia dua tahun," kata pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Losong, Kuala Terengganu Muhammad Danial Hakimi Othman.

Danial yang bercita-cita mahu menjadi jurutera antara 271 pelajar cemerlang di Terengganu yang memperolehi semua A dalam keputusan  Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Katanya, tiada petua istimewa yang diamalkan bagi mencipta kejayaan itu, cuma memastikan kerja sekolah dan latihan yang disediakan guru dapat disiapkan lebih awal, kerap mengulangkaji pelajaran bersama kawan sekolah dan tidak ponteng kelas tambahan yang dianjurkan sekolah.



“Kejayaan ini bergantung kepada berkat doa ibu, tunjuk ajar guru-guru dan dorongan  kawan-kawan yang mahu berjaya,”katanya.

Pelajar cemerlang lain dari sekolah sama, berkata Muhammad Nabil Mohd Zin, berkata apa yang diperoleh itu menjadi pendorong untuk dia terus mencapai kejayaan lebih hebat sehingga berjaya mencapai cita-cita sebagai pensyarah.

Katanya, mahu mengubah nasib keluarga kepada kehidupan lebih selesa kerana ayah hanya bekerja sebagai pemandu di Kolej Komuniti, manakala ibu Zawiah Yusuf hanya suri rumah.

“Saya pegang kepada pesanan cikgu, mereka yang cerdik dalam pelajaran boleh berjaya dalam kehidupan.

“Oleh itu, saya nekad untuk berjaya dan jika diberi peluang saya mahu menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Imtiaz,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Losong, Abdul Razak Embong berkata, kejayaan sekolahnya yang mencapai tangga ketiga terbaik seluruh Terengganu  dan lima  pelajar memperoleh semua A adalah keputusan di luar jangkaan.

“Apa yang diperolehi itu berkat usaha dan kerjasama warga pendidik dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru yang sentiasa memastikan setiap program serta kelas tambahan tidak meminggirkan pelajar yang kurang cemerlang,”katanya.




Tag: