• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Usaha Tarik Pelabur Ke Terengganu Terus Giat Berjalan

KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Terengganu terus mengorak langkah dalam menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri ini sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya banyak terlibat dan berbincang dengan pelabur dari luar negara dan dalam negeri yang berhasrat untuk melabur di sini.

Katanya, walaupun tidak mudah untuk menarik mereka ke sini, tetapi kerajaan negeri sentiasa optimis dapat mencapai sasaran.

"Sejak tahun 2018 sebanyak 11 pelabur yang berhasrat untuk melabur di Terengganu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.9 billion, tahun 2019 sebanyak 14 pelabur dan pada tahun 2020 sebanyak enam pelabur.

"Setakat ini, bagi tahun 2021, sebanyak 12 pelabur yang berminat untuk melabur di negeri ini dengan anggaran pelaburan sebanyak RM 3.7 billion.

"Jumlah keseluruhan pelaburan sejak tahun 2018 hingga tahun 2021 adalah sebanyak RM 12.5 billion," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Munajat Rakyat Terengganu 5.0' di Tv Darul Iman.

Mengulas lanjut, Tengku Hassan memaklumkan, pada masa yang terdekat, beliau akan berhubung secara maya dengan pelabur dari Korea yang berminat untuk melabur dalam bidang kimia di Kerteh dengan jumlah pelaburan bernilai lebih kurang RM1 billion. 

"Kita juga telah selesai berbincang dengan pelabur dari dalam negeri yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dengan membawa pelaburan sebanyak RM2.5 billion dalam bidang silika.

"Ramai di kalangan mereka yang ingin melabur di Terengganu datang daripada sektor minyak, gas dan petrokimia dengan kadar sebanyak 28 peratus," katanya.

Tambah beliau, sektor pembuatan pula telah melibatkan kadar pelaburan sebanyak 23 peratus, sektor perlancongan sebanyak 16.3 peratus, sektor pertanian dan produk hiliran sebanyak 11.6 peratus, sektor teknologi baharu sebanyak 11 peratus dan lain-lainya sebanyak 10.1 peratus.

"Kita masih menerima permohonan-permohonan untuk melabur disini, kita menjangkan akan ada pelaburan yang besar untuk Terengganu.

"Pelaburan masih datang, kita juga sedang bekerja keras untuk menarik mereka melabur di Terengganu," ujarnya.


Tag: