• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat

KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu untuk melahirkan 'teknokrat huffaz' kini berada di landasan yang tepat setelah semua pelajar lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) telah mencapai kejayaan unggul di dalam peperiksaan awam.

Kesemua pelajar lepasan sekolah tersebut bukan sahaja berjaya mencatatakan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tetapi telah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.

Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu (YT), Megat Samsudin Megat Yusof berkata, hari ini pihak YT berbesar hati memberikan insentif sebanyak RM353,000 kepada 353 murid.

"Hari ini kita meraikan seramai 368 graduan pelajar tingkatan 5 dan 14 tingkatan 6 di mana seramai 353 murid telah berjaya khatam 30 juzuk hafalan al-Quran.

"Manakala seramai 105 orang murid telah berjaya khatam al-Quran hanya dalam tempoh tiga tahun yang merupakan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga berdasarkan Petunjuk prestasi Utama (KPI) Ko-Kurikulum Hafazan Imtiaz.

"Iaitu menghafal sekurang-kuranya satu muka surat sehari, 10 juzuk setahun dan akhirnya khatam 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Kali Ke-14, Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah.

Mengulas lebih lanjut, Megat berkata kejayaan pelajar SMYIT itu merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan.

"Walaupun mempunyai rutin belajar (akademik)  yang padat sebagai anak soleh pintar namun masih mampu menghafal al-Quran (mengikut) silibus yang telah ditetapkan.

"Statistik ini membuktikan bahawa SMIYT telah merealisasikan matlamat penubuhannya untuk melahirkan huffaz profesional secara langsung ia menjadi pemangkin modal insan dengan mida kelas pertama yang akan menyumbang kemajuan dan kelestarian negeri Terengganu," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Nor menzahirkan ucapan tahniah kepada YT kerana masih mengekalkan kejayaan dan mengangkat martabat pendidikan tahfiz di negeri Terengganu.

"SMIYT juga masih berada dalam carta 10 sekolah terbaik di peringkat negeri dengan melahirkan seramai 70 orang pelajar mendapat 12A.

"Tidak dilupakan ucapan tahniah dan terima kasih kepada warga pendidik kerana tanpa jemu bertungkus lumus menggembleng tenaga serta masa agar kejayaan pada hari ini terukir," ujarnya.