• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Utamakan Usaha Tangani COVID-19, Daripada Isu Politik

DUNGUN, 25 Oktober - Wabak COVID-19 yang mencatatkan peningkatan kes ketika ini sepatutnya menjadi keutamaan yang perlu ditangani semua pihak berbanding isu lain termasuk politik.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu,, Wan Hapandi Wan Nik berkata, usaha menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat serta ekonomi negara dalam waktu yang mencabar ini perlu diberikan tumpuan.

"Usah tamak berpolitik kerana akan merugikan rakyat.  Bukan masa sekarang untuk tunjuk siapa kuat atau siapa paling banyak sokongan. Sekarang masa untuk kita bersatu padu melawan pandemik ini,” ujarnya kepada pemberita.

Wan Hapandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, tindakan segelintir ahli politik yang tamak akan kuasa boleh mencetuskan ketidakstabilan ekonomi kepada negara. 

Beliau menegaskan isu COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini lebih serius berbanding isu politik yang hanya menguntungkan sebelah pihak. 

“Kita dapat lihat dimana rakyat sudah muak dengan permainan ahli politik yang gila kuasa ini. Rakyat sudah penat melayan mereka ditambah dengan peningkatan kes COVID-19 setiap hari," ujarnya. 

Wan Hapandi turut berharap semua pemimpin politik agar bersatu hati melawan pandemik COVID-19. 


Tag: