• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Warga Tani Terengganu Positif COVID-19 Terharu Terima Bantuan 'One-Off'

SETIU, 3 Ogos - Nasib warga tani daripada sektor pertanian, penternakan dan juga perikanan di negeri ini yang positif Covid-19 terbela apabila kerajaan Terengganu memberikan bantuan 'one-off' kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bantuan sebanyak RM500 kepada 90 individu itu diharap mampu meringankan sedikit beban dialami sepanjang menjalani tempoh rawatan dan kuarantin.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada yang terlibat dalam sektor berkenaan kerana mereka adalah penyumbang utama bekalan makanan untuk seluruh rakyat.

"Kalau kita tengok daripada angka positif Covid-19 yang melibatkan sektor pertanian, nelayan dan penternakan ini boleh kita simpulkan bahawa masih berada pada tahap yang sangat rendah risiko terdedah kepada jangkitan.

"Walaupun begitu peringatan dan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu diberi keutamaan dalam rangka kita hendak memastikan perkhidmatan sektor ini terus berjalan, dan rantaiannya tidak terputus walaupun dalam pelbagai situasi sekatan dan kekangan yang sedang kita lalui bersama ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan bagi daerah ini, pada Program Melabuh Unjam Komuniti Perikanan (myKP) Bari dan myKp RHU 10, di Perairan Setiu, pada hari ini.

Turut hadir, Pegawai daerah, Haji Rosli Latif, Pemangku Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh dan Ketua Polis daerah tersebut, Deputi Superitendan Afandi Husin.

Sementara itu salah seorang penerima sumbangan, Norizan Ali, 53, berkata pihaknya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan itu.

"Saya dengan isteri didapati positif pada Jun lalu. Bantuan ini sangat besar bagi kami dalam meringankan beban perbelanjaan kami sekeluarga.

"Kami masih mempunyai lima orang anak di bawah tanggungan saya, sepanjang tempoh itu tidak boleh kemana-mana untuk bekerja seperti biasa. Saya ucapkan terima kasih  kepada kerajaan," ujarnya.

Seorang lagi penerima bantuan, Amran Derahat, 54, juga menyatakan bahawa bantuan berkenaan sangat membantu.

"Saya merupakan salah seorang pesawah, sangat bersyukur  mendapat bantuan ini daripada pihak kerajaan untuk membantu golongan seperti kami.

 

"Jadi dapatlah menampung perbelanjaan kami sekeluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup," ujarnya yang juga merupakan seorang imam di Masjid Kampung Banggol.


Tag: