• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

YADIM Pergiat Strategi 'Touch And Go'

KUALA NERUS,11 November - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terus mempergiatkan strategi  'Touch And Go' dalam melaksanakan agenda dakwahnya.

Strategi itu dijalankan dengan melaksanakan program-program di pelbagai tempat yang akan menarik rakan dakwah setempat untuk menyertainya.

Penolong Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saidin berkata, selepas 'Touch And Go', langkah seterusnya adalah 'Touch And Stay' iaitu mengenalpasti penggerak di kalangan  masyarakat setempat untuk menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO), dan seterusnya sama-sama bergerak dengan kerajaan untuk melaksanakan program dakwah di semua peringkat.

Ustaz Nasrul Hadi menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan.

“Itulah yang kami sedang cuba lakukan di sini, kami datang dengan harapan bahawa program ini akan mencambahkan lagi program dan aktiviti lain di peringkat masyarakat di sini.

“Dengan itu, ia akan membuka lebih ruang kepada kami untuk mengadakan program-program dakwah yang lain di sini,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu Program Bulan Dakwah 2020 Sempena Maulidur Rasul Peringkat Kg Banggol Donas, di Dewan Mina, Taman Cikgu Ismail Yusof 2, Kampung Banggol Donas, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Ridzuan Hashim dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banggol Donas, Rosli Bidin.

Nasrul Hadi juga berharap agar rakan-rakan dakwah setempat mampu untuk turut sama menggapai gelombang dakwah sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Jawatankuasa Wanita Taman Cikgu Ismail Yusof 2 yang banyak membantu melancarkan progran ini.

Terdahulu, Bulan Dakwah telah dilancarkan pada 3 Oktober lepas secara siaran langsung di TV Al Hijrah dan berakhir hujung tahun ini yang bertujuan untuk menyebarluaskan gerakan dakwah dengan mengambil semangat Rabiul Awwal yang juga merupakan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.

 

 


Tag: