• 29 Nov 2021 | 23 Rabiul Akhir 1443

Ziarah KP Harakah, Dr Khairudin Sampaikan Bantuan

SEREMBAN, 9 Mac - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali telah menyampaikan sumbangan kepada Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob bagi meringankan beban perbelanjaan perubatan Ketua Editor Harakah itu dan isterinya.

Sumbangan disampaikan melalui Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin yang datang menziarahi Wan Nordin di kediamannya di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.

Turut sama dalam ziarah itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafie Mustapha, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar, Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Ustaz Muhammad Najhan Abdul Halim, mantan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Haris dan isteri.

Dalam ziarah tersebut, Ustaz Mohd Kamal Nazmi yang mewakili Dr Khairudin turut bertanyakan perkembangan rawatan membabitkan Wan Nordin dan isterinya.

Sejak November lalu, Wan Nordin berdepan masalah sakit tulang belakang, saraf dan darah tinggi yang serius.

Selepas rawatan kiropratik pada awal Disember lalu, beliau masih lagi berdepan masalah yang sama, namun telah mampu berjalan tidak seperti sebelum ini.

Sementara isterinya, Ustazah Suraini Ab Hamid pula menghadapi masalah pendengaran di mana telinga sebelah kanannya tidak berfungsi, selain telinga kiri hanya mampu mendengar sekitar 30 peratus.

Pun begitu dengan bantuan pelbagai pihak, pada minggu lepas alat bantu pendengaran telah ditempah untuk beliau.