• 10 Nov 2024 | 08 Jamadil Awal 1446

Zulfikri Hadiahkan Emas Untuk Negara

DUNGUN, 26  Mei - Zulfikri Zulkifli, 22 yang mewakili skuad berbasikal MTB kebangsaan mencipta sejarah tersendiri apabila dia bersama rakan sepasukan berjaya merangkul pingat emas pertama acara berganti-ganti rentas desa campuran di Sukan SEA ke-31 di Hanoi baru - baru ini. 

Anak kelahiran Kampung Gong Pasir itu tidak menyangka minatnya terhadap sukan berbasikal sejak kecil nyata membuahkan rezeki buat dirinya.

"Saya bersama-sama Ahmad Syazrin Awang Ilah, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon mengondol pingat emas ke -20 negara.

"Kepada remaja yang berminat dalam apa sahaja jenis sukan buatlah bersungguh-sungguh dan berdisiplin kerana mereka mampu pergi jauh, banyakkan usaha, doa dan tawakal," katanya yang mula menceburi secara serius sukan itu sejak lima tahun lalu.

Zulfikri ditemui pemberita pada majlis meraikan kejayaannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Restoran Nasi Arab Anwaar Al Yaman di sini.

Sementara itu, Alias turut berbangga dengan kejayaan remaja itu yang merupakan jiran sekampung beliau. 

"Saya mengenalinya sejak kecil dan memang setiap hari dengan basikal, semoga bakatnya sentiasa bersinar dan terus mengukir nama di persada antarabangsa dengan sokongan kuat kerajaan," katanya. 


Tag: