Zuraida Kagum Dengan Ketabahan Mangsa Nahas UPSI

IPOH, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mezahirkan rasa kagum dengan ketabahan tiga mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Hospital Taiping.

Dalam masa yang sama, beliau mendoakan agar mereka terus kuat serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan. 

Menurut Zuraida, ziarah ini amat menyentuh hati memandangkan beliau ketika kejadian berada di Kemboja atas misi kemanusiaan.

“Hati saya amat sayu, sebak dan rasa ingin segera pulang apabila mendapat berita kemalangan itu. Alhamdulillah hari ini Allah beri kesempatan untuk bersama-sama memberi sokongan dan doa buat adik-adik mangsa,” ujar beliau kepada pemberita selepas menziarahi mangsa di sini, semalam.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengetuai sesi ziarah berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor, ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.

Mangsa-mangsa yang diziarahi ialah Lili Suzana dan Nor Erika Elysha yang kini dirawat di HRPB, Ipoh serta Nur Liyana di Hospital Taiping. 

Dalam pada itu, Zuraida juga merakam penghargaan kepada semua petugas kesihatan di HRPB dan Hospital Taiping atas komitmen dan keprihatinan tinggi dalam memberikan rawatan terbaik kepada para mangsa, serta kepada semua pihak yang tidak putus-putus menghulurkan doa dan bantuan.

“Ujian ini sungguh berat, namun doa dan sokongan kita semua adalah kekuatan buat mereka dan keluarga," ujarnya.

Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI telah terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini.


Tag: