Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
Usaha Berbaloi: Pelajar Cemerlang Terima Pengiktirafan
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Seramai 159 pelajar cemerlang diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 Peringkat DUN Batu Buruk yang berlangsung baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi melahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar atas kejayaan yang dicapai pada SPM 2024 tersebut.
"Pencapaian ini sebagai hasil daripada usaha gigih, doa, tawakal dan keberkatan ilmu yang dicari dengan keikhlasan.
"Kejayaan ini bukan untuk dibanggakan semata-mata, tetapi digunakan untuk berbakti kepada keluarga, masyarakat dan agama. Cemerlang di dunia biarlah menjadi jambatan menuju akhirat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bertempat di Dewan Terengganu Equestrian Resort (TER) baru-baru ini.
Majlis tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk.
Dr. Khalil berkata bahawa ilmu adalah jalan yang mendekatkan diri kepada Allah, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud sesiapa menempuh jalan mencari ilmu, Allah permudahkan baginya jalan ke syurga.
"Majlis ini turut memperkukuh komitmen DUN Batu Buruk dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berbakti.
"Seiring dengan aspirasi “Batu Buruk Sejahtera” dan visi negeri Terengganu ke arah Terengganu Maju Berkat Sejahtera," ujarnya.