• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Hanya 20 Peratus Anggota Bomba Terengganu Dibenar Cuti Raya

KUALA TERENGGANU, 24 April- Hanya 20 peratus daripada 736 anggota serta pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu dibenarkan bercuti pada Aidilfitri tahun ini.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid seperti dipetik dalam laporan Bernama berkata, ia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kes-kes kecemasan dan kemalangan yang dikhuatiri meningkat susulan kebenaran sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

"Hanya lebih kurang 100 anggota dan pegawai kita benarkan bercuti, tapi mereka ini sentiasa siap sedia untuk dipanggil bila-bila masa sahaja sekiranya keadaan memerlukan," katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri 2022 di sini, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga akan meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan kerap berlaku kemalangan dan mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati memandangkan jumlah aliran masuk kenderaan yang dijangka luar biasa pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua isi rumah agar tidak mengambil mudah nasihat supaya menyimpan alat pemadam api di rumah sebagai langkah keselamatan.

"Pada tahun ini kita telah melaksanakan hampir 500 program keselamatan termasuk ceramah, pameran dan pertunjukan di sekolah, masjid, pasar raya dan sebagainya dalam usaha memupuk kesedaran orang ramai," katanya.
 


Tag: