• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kolej Matrikulasi Perlu Diwujudkan di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 September - Kerajaan Pusat digesa agar mewujudkan Kolej Matrikulasi di Terengganu dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa perancangan untuk mewujudkan institusi berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK) pada tahun 2009.

"Sejak RMK-9 dahulu kerajaan mengumumkan untuk membina tiga buah Kolej Matrikulasi baharu yang akan dibina di Terengganu, Kelantan dan Sabah.

"Di Kelantan telah pun siap dan telah pun dibuka, tetapi di Terengganu sampai sekarang masih tidak ada lagi.

"Saya berharap kalau boleh dalam masa terdekat ini ada (dibina) satu dahulu pun tidak apa," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Dewan Rakyat, di Putrajaya, semalam.

Tambah Ahmad Amzad, pendidikan di Terengganu sehingga hari ini sentiasa cemerlang dengan mencatat keputusan terbaik dalam Peperiksaan Awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan sebagainya.

Untuk rekod pada tahun 2016, telah dijanjikan untuk dibuka di Ajil dan pada tahun 2017 dijanjikan pula untuk dibuka di Serating, Marang.