• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Universiti Tunisia dan Algeria Tempatkan Pelajar Terengganu kini Mendapat Pengiktirafan

KUALA TERENGGANU, 29 November - usaha kerajaan Terengganu mengorak langkah menghantar pelajar ke Algeria dan Tunisia membuahkan hasil apabila kesemua pengajian di universiti yang menempatkan pelajar dari negeri ini mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, hasil yang diusahakan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam bermula tahun lalu dengan seramai 38 pelajar telah dihantar di kedua negara berkenaan di Peringkat Sarjana Muda.

Ujarnya, dengan berita baik itu diharap dapat menjawab spekulasi yang mendakwa bahawa kerajaan negeri ini hanya sekadar menghantar pelajar tanpa mengambil peduli samada diiktiraf ataupun tidak.

"Di Algiers 1 University dan Emir Abdelkader University Of Islamic Sciences (Algeria) membabitkan empat pengajian Sarjana Muda  Pengajian Islam iaitu Usuluddin ; Bahasa Arab ;Ketamadunan Islam dan Syariah.

"Manakala di Ez-Zitouna Universrity (Tunisia) membabitkan empat  pengajian Sarjana Muda peradaban Islam iaitu Akidah dan Ilmu Kalam; Al-Quran dan Hadi;  Feqh dan usul serta Peradaban Islam.

"Kesemuanya ini telah mendapat pengiktirafan MQA," ujarnya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Caption

Sehubungan itu, Satiful berharap agar dengan kesemua pengajian di universiti berkenaan telah mendapat pengiktirafan akan melegakan semua pihak.

"Semoga memberikan ketenangan buat ibu bapa, agensi terlibat serta para pelajar yang baru berangkat serta yang telah belajar di sana bermula tahun lalu," katanya.