lightning-solid
Berita :
100 Asnaf Terima Bantuan Sekolah
100 Asnaf Terima Bantuan Sekolah
Arifuddin Alias
12 jam yang lepas
81

KUALA NERUS, 31 Disember  – Seramai 100 pelajar asnaf menerima bantuan pakaian dan peralatan sekolah menerusi program Back To School anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir yang berlangsung hari ini.

Program tahunan itu bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan awal persekolahan bagi tahun 2026, khususnya golongan kurang berkemampuan.

Menurut ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat, walaupun sumbangan itu mungkin kelihatan kecil, namun ia tetap memberi manfaat kepada keluarga yang memerlukan.  

“Bantuan ini tidak seberapa, tetapi kami berharap ia sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak mereka ke sekolah.

"Inisiatif ini juga mencerminkan keprihatinan pihak kerajaan terhadap kebajikan rakyat, supaya semua dapat bersekolah, jangan ada yang tertinggal pun, insya-Allah,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan ringkas sebelum program bermula.

Antara penerima manfaat adalah Muhd Zuhairi Shukur, seorang pekerja syarikat sekuriti yang memiliki tiga orang anak masih bersekolah dengan pendapatan hanya cukup untuk menampung keperluan asas.

Secara peribadi, beliau bersyukur kerana bantuan itu sedikit sebanyak membantu mencukupkan keperluan persekolahan anak-anaknya.

“Menjelang sesi persekolahan tahun depan, bantuan ini akan saya gunakan untuk beli baju sekolah, alat tulis, ” jelasnya.

Bagi anaknya, Sumayyah, pelajar darjah enam tahun hadapan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng, gembira bantuan tersebut membolehkannya melengkapkan semua keperluan sekolah.

“Sekarang saya dah ada baju, kasut, serta dan alat tulis yang baru,” katanya

Program itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan dijangka diteruskan pada masa akan datang.


Tag :

Artikel Berkaitan