• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

127 Pelajar Kuala Nerus Sertai Tuisyen Rakyat


Seramai 127 pelajar dari 14 buah sekolah di Kuala Nerus menyertai Program Tuisyen Rakyat @ KKLW-YPM bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 anjuran Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Terengganu yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program tiga hari yang berakhir semalam itu bertujuan membantu pelajar luar bandar yang terpilih berasaskan potensi dengan latar keluarga berpendapatan rendah mendapat bimbingan yang berkesan dari segi teknik belajar secara berkesan, latih tubi dan teknik menjawab soalan peperiksaan.


“Usaha untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar memerlukan sokongan, penglibatan dan komitmen semua pihak.

“Semoga pelajar mendapat manfaat daripada kelas bimbingan yang diadakan ini dan sekali gus dapat mencapai kejayaan di dalam peperiksaan SPM tidak lama lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerpurnakan Majlis Penutup Program Tuisyen Rakyat @ KKLW-YPM 2017 di Dewan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin; Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail; Pegawai Pendidikan Daerah, Che Soh Muda dan Pegawai Seranta YPM Terengganu, Mahusin Taib.

Tag: