• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

1,300 Pelajar Seberang Takir Disuntik, Petanda Sambutan Baik PICK

KUALA NERUS, 28 September – Sambutan memberangsangkan dapat dilihat dari segi kehadiran setelah 1300 pelajar telah menerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (KOMSTAR) melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Pengetuanya, Zalina Hassan berkata, ibu-bapa sudah dimaklumkan awal oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing supaya hadir bersama salah seorang daripada penjaga atau membenarkan seorang wakil jika penjaga tidak dapat hadir.

“Lima orang petugas dari setiap sekolah telah memberikan komitmen yang baik tambah lagi petugas darip pejabat kesihatan daerah dan para doktor telah menjalankan tugas menyuntik pelajar tingkatan empat dan lima

“Setakat hari ini kita tidak menerima apa-apa aduan daripada ibu-bapa, semua berpuas hati dan terima kasih kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang melancarkan proses PPV sebelum ini,” katanya ketika ditemubual pemberita semasa PICK di KOMSTAR, Seberang Takir, hari ini.

Turut hadir Pegawai Perhubungan Parlimen Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Azmi Mokhtar.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menzahirkan penghargaan buat ibu-bapa kerana memberi sokongan kepada anak-anak untuk menerima suntikan vaksin.

“Seberang Takir mencatatkan peningkatan kes, oleh itu saya mengharapkan usaha ini dapat memastikan risiko jangkitan di sekolah dikurangkan dan seterusnya mencegah kejadian kes dan kluster di kalangan warga sekolah.

"Jumlah kehadiran melebihi 1200 murid merupakan satu petanda baik bahawa golongan pelajar sedia divaksin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir turut mengagihkan bekalan makanan dan pelitup muka percuma kepada pelajar yang telah mendapat suntikan vaksin dos pertama.