• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

133 Undian Lot RTB Pondok Pasir Dan Payoh Di Kijal

KEMAMAN, 13 Januari - Seramai 133 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Pondok Pasir dan Kampung Payoh di Kijal membuat undian lot bagi menentukan tapak kediaman masing-masing.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, RTB Pondok Pasir merupakan RTB yang dialih lokasinya setelah kawasan asalnya di Tasik Bukus telah diwartakan sebagai kawasan perlombongan oleh kerajaan negeri.

Manakala RTB Payoh katanya adalah penempatan baharu bagi generasi muda.

"Alhamdulillah, akhirnya proses undian RTB ini diselesaikan setelah melalui beberapa proses yang agak rumit dayri sudut teknikal dan perundangan.

"Berkat kesabaran dan kerjasama, kita berjaya menunaikan hasrat rakyat untuk memiliki tapak kediaman bagi mereka meneruskan kehidupan berkeluarga dengan lebih sempurna.

Peserta undian lot bergambar bersama daif sebagai kenangan.

"Tahniah dan terima kasih kepada pihak Pejabat Tanah Kemaman, pegawai serta kakitangannya yang bekerja keras untuk melunaskan salah satu janji kerajaan kepada rakyat setelah diberi mandat untuk memerintah Terengganu pada pilihanraya umum lalu," ujarnya ketika berucap di majlis undian lot di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal, baru-baru ini.

Hazri Jusoh (kanan) meraikan peserta.

Sementara itu, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh yang turut berucap di majlis tersebut menerangkan proses selanjutnya selepas undian lot kepada peserta.

"Kepada peserta yang bermasalah dari segi kewangan untuk membuat pembayaran premium tanah ini didalam tempoh ditetapkan, bolehlah merujuk kepada pihak kami untuk dipermudahkan.

"Tempoh tiga bulan pertama yang berikan kepada peserta boleh lagi dilanjutkan ke tiga bulan seterusnya dengan memaklumkan kepada kami sebelum tamat tarikh tersebut.

"Tetapi sebaik-baiknya carilah daripada mana-mana sumber kewangan untuk menjelaskan bayaran 10 peratus ini di dalam tempoh yang diberikan bagi memudahkan pihak kami untuk ke proses selanjutnya iaitu geran," ujarnya lagi.

Peserta meninjau lokasi tanah yang bakal dimiliki.

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan turut dihadiri oleh Penolong Kanan Pentadbir Tanah, Mohamad Hafiz Che Awang beserta kakitangan, Ketua Biro Tanah Kijal, Zabidin Awang dan kakitangan Imits Kijal.