• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

139 Peserta Boling Padang Berentap

KUALA NERUS, 28 Oktober - Seramai 139 peserta berentap dalam Kejohanan Boling Padang Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Gong Badak di sini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kejohanan tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu individu (single) dan berempat (fours).

“Mereka terdiri daripada 64 peserta bagi acara individu lelaki dan 44 peserta bagi individu wanita.

“Manakala, 18 pasukan bagi acara berempat lelaki dan 13 pasukan berempat wanita.

“Saya juga difahamkan kejohanan ini turut disertai mereka daripada kalangan pemain kebangsaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz dan Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut  mengucapkan tahniah kepada PLBM kerana berjaya memenangi satu pingat emas dan satu pingat gangsa di Kejohanan ‘World Bowls Championship’ 2023 baru-baru ini di Gold Coast, Australia.

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang yang telah berjaya merangkul kejuaraan. 

“Sudah pasti kemenangan ini datang bersama dengan ketekunan dan usaha yang keras sebelum daripada ini. 

“Sudah menjadi adat pertandingan, ada yang menang dan ada juga yang kalah.

“Yang belum menang jangan pernah berputus asa, jadikan ia sebagai motivasi yang terbaik untuk kita perbaiki dimana kesilapan serta kelemahan pada kali ini untuk berjaya dengan cemerlang pada kejohanan yang mendatang,” ujarnya.

Sementara itu Ahmad Samsuri berkata, kejohanan boling padang itu bukan sekadar mengenai kemenangan semata-mata, tetapi untuk menyemai sikap semangat persaudaraan yang tinggi sesama peserta.

"Malah, menjadi pangkalan semangat serta kecemerlangan bakat bagi sukan boling padang ini, Insya-Allah," katanya.