KUALA TERENGGANU, 11 November - Seramai 2,000 peserta menyertai Terengganu Drawbridge Half Marathon yang julung-julung kali dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pengarah program, Saiful Nizam Kamal Ariffin berkata, program yang pertama kali diadakan itu mendapat sambutan tidak hanya daripada rakyat Terengganu bahkan dari seluruh negara.
Ujarnya, acara larian itu bermula pada jam 6.30 pagi di Dataran Batu Burok.
"Membabitkan tiga kategori iaitu 21 kilometer (KM), 20 km dan 5 KM, bermula di sini melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu menuju ke Pantai Teluk Ketapang, acara larian ini tamat pada jam 9.00 pagi," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli yang menyempurnakan perasmian penutup acara yang diadakan dengan penuh gilang gemilang itu.
Dalam pada itu, Saiful Nizam berkata program berkenaan akan diadakan sebagai acara tahunan di masa akan datang.
"Kita yakin akan menerima lebih ramai peserta, sebenarnya pada kali ini di awalnya kita menjangkakan yang akan menyertai seramai 1,000 orang, namun yang hadir adalah seramai 2,000 orang.
"Ini merupakan satu kejayaan walaupun kali pertama ia dianjurkan, lebih menarik peserta dari luar Terengganu mereka bukan sahaja tertarik untuk menyertai acara ini semata-mata, dalam masa yang sama mereka membawa keluarga mereka untuk melancong dan menikmati keindahan negeri Terengganu," ujarnya lagi.