21,582 Peserta Gegar Terengganu Marathon 2025!

KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Penganjuran premier acara Terengganu Marathon 2025 (TM2025) dengan sokongan penuh kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyaksikan penyertaan 21,582 peserta di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas kepada semua peserta yang bertanding menjayakan program sehingga mendapat pengiktirafan Persatuan Marathon Antarabangsa dan Perlumbaan Jarak Jauh (AIMS).

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta Marathon Terengganu 2025 yang berjaya menamatkan larian mengikut kategori masing-masing, sama ada berjaya naik podium atau sekadar menamatkan larian, anda semua adalah juara.

“Anda semua adalah hebat dan luar biasa kerana memberikan komitmen untuk meneruskan larian sejauh 42 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer hatta 100 meter sekalipun.

“Keazaman dan semangat inilah yang kita kena ada dalam diri kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu ucapan penutup bagi acara TM2025, pagi tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato' Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza; Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Dr. Ahmad Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penuh dalam menjayakan acara tersebut.

Antara pihak terlibat dalam penganjuran acara yang telah menarik kunjungan peserta dari pelbagai negeri itu tadi termasuklah KBSM, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Terengganu Running Community, penaja utama Him & Her Coffee, Kaharo Jewels dan lain-lain penaja.

TM2025 menawarkan pelbagai kategori perlumbaan, termasuk Maraton Penuh (42KM) untuk peserta lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas, serta Separuh Maraton (21KM) bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas, dengan kategori veteran untuk peserta berusia lebih 40 tahun.

Selain itu, terdapat Larian 10KM, terbuka kepada individu berumur 15 tahun ke atas termasuk kategori veteran, serta Larian Santai 5KM bagi peserta berusia 13 tahun ke atas, dengan kategori khas untuk golongan muda (10-18 tahun) dan veteran.

Bagi kanak-kanak, terdapat kategori Kid Flash 1KM dan 2KM, khusus untuk peserta berumur antara 6 hingga 13 tahun.

Di samping trofi kemenangan yang diberikan kepada penamat larian mengikut kategori tersendiri, acara larian yang telah disertakan dalam Calender Of Event (COE) Terengganu 2025 itu turut menyediakan hadiah utama kategori cabutan bertuah jongkong emas bernilai RM100,000.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengumumkan bahawa acara larian ini turut akan dibawa kedalam perancangan tahun depan.

“Saya merakamkan rasa syukur dan Insya-Allah dengan kelancaran program yang telah terbukti pada hari ini, Terengganu Marathon akan berulang kembali pada 2026 nanti.

“Dan mengikut jadual penganjuran kami, tahun ini turut akan diadakan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud,” ujar beliau.