• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

250 Unit RMM Bakal Dibina Di Kampung Tajin - MB Terengganu


HULU TERENGGANU, 9 Julai - Sebanyak 250 buah rumah mampu milik (RMM) akan dibina di Kampung Tajin yang dijangka dimulakan pada bulan hadapan di atas tanah seluas 10 hektar.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kos setiap RMM adalah RM117 ribu tetapi penerima hanya perlu membayar sebanyak RM80 ribu dan selebihnya  ditanggung oleh kerajaan.

Katanya, ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa peka dengan pembangunan luar bandar dan akan memastikannya tidak ketinggalan termasuk memastikan rakyat yang berumur 21 tahun ke atas mendapat lot tanah atau kediaman selaras dengan manifesto yang dijanjikan.

"Ini merupakan inisiatif oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) manakala kontraktor dilantik ialah GPQ iaitu salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri jadi kita dapat jimatkan kos jika laksana sendiri.

"Kita jangka projek ini akan siap dalam masa dua tahun  bermula 16 Jun hingga akhir Jun 2021 dengan kos keseluruhan hampir RM30 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan RMM Tajin dan Penyerahan Suratan Hakmilik Felcra Seberang Kuala Jeneris 1, di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh, ADUN Ajil, Maliaman Kassim dan ADUN Telemong, Dato' Rozi Mamat.

Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Johan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Samiun Salleh dan Pengurus Besar Wilayah Felcra Bahagian Timur, Zulkifli Sidek.

Menurutnya lagi, RMM di Tajin itu dibina dalam kategori kediaman komersial dan bakal menikmati pelbagai kemudahan seperti surau, tadika, dewan serbaguna, rumah kedai dan loji rawatan kumbahan untuk kemudahan penghuninya nanti.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata,  permohonan untuk RMM seluruh Terengganu kini menjangkau 130 ribu dan selepas disaring, pihaknya mensasarkan 50 ribu sahaja bagi pemohon yang betul-betul layak  dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Kita juga akan berusaha untuk perbanyakkan lagi RMM di daerah-daerah lain tetapi kita utamakan dahulu di kawasan yang terdesak dan mudah mencari tanah," ujarnya.

 


Tag: