• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

264 Penduduk Kota Putera Terima Geran Tanah

BESUT, 1 September - Seramai 264 penduduk Kota Putera menerima Geran Tanah Hak MIlik & Borang 5A Tanah dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Kota Putera Square, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penyerahan geran tanah dan borang 5A tersebut adalah bukti kerajaan negeri cakna dan prihatin kepada rakyat.

"Proses mengembalikan tanah terkilan merupakan manifesto kita pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu. Proses ini terus berjalan dan ia mengambil sedikit masa ekoran pelbagai kekangan di pelbagai peringkat. Walau bagaimanapun, saya tetap akan mengusahakan sebaik mungkin untuk semua yang terlibat dalam kawasan saya dan akan diadakan secara berperingkat.

"Majlis penyampaian tersebut adalah yang kedua selepas lebih 10 orang penduduk telah menerima borang itu daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini pada majlis perasmian Rumah mampu Milik (RMM) Taman Putera Rahman," ujarnya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Putera kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemberian geran tersebut.

Sementara itu, seorang penerima Wan Hanapi  Wan Su, 70, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana mengembalikan hak beliau yang sebelum ini dinafikan.

"Tahniah kepada peserta yang bersabar hingga kini. Berbanyak syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu. Peserta RTB 1999 - 2004 (terkilan) yang belum mendapat tawaran mohon kesabaran kerana bukan mudah kerajaan negeri menyelesaikan semuanya dalam tempoh yang singkat.

"Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus bekerja. Semoga dengan penyelesaian ini akan menggembirakan kembali semua pihak yang sepatutnya telah lama berhak menerima pemberian tanah ini secara sah," ujarnya.


Tag: