• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

27 Tahun Jaga Isteri Lumpuh Demi Cinta Sejati


HULU TERENGGANU, 5 Disember - Setia hujung nyawa, itu lah ungkapan yang sangat sesuai menggambarkan situasi seorang suami yang menjaga isterinya terlantar lumpuh sejak 27 tahun lalu.

Kisah ini mampu menjadi satu sumber inspirasi agar tetap bersama-sama pasangan dalam mengharungi susah senang.

Ramli Hassan, 55, berkata, dia lebih suka menempuhi saat manis dan sukar bersama, bukan hanya memerlukan dikala sihat dan ditinggalkan ketika sakit.

Bapa kepada dua anak itu berkata dia tidak akan sesekali meninggalkan surihatinya, Normah Mamat, 53, yang memerlukan penjagaan sepanjang masa kerana tidak mampu makan mahupun membersihkan diri sendiri.

Ketika ditemui, Ramli tetap tenang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan menjaga Normah dengan penuh kasih sayang.

"Isteri saya mengalami komplikasi selepas bersalin anak kedua kami apabila seluruh badannya menggigil kesejukan.Selepas dibawa ke hospital dan menerima rawatan, keadaannya semakin parah sehingga tidak mampu berjalan dan bercakap.

"Tinggi harapan saya untuk melihat isteri saya sembuh seperti sedia kala walaupun ia agak sukar tetapi harapan itu tetap ada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Ali, di sini hari ini.

Ramli yang bekerja sebagai tukang rumah berkata jika dia keluar bekerja, isterinya sanggup berlapar. dan menunggunya pulang untuk menyuapkan makanan serta memandikannya.


   
Menurutnya lagi, kira-kira RM500 diperlukan sebulan untuk membeli keperluan isterinya termasuk lampin pakai buang dan ubat-ubatan.
       
"Setakat ini kami hanya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500, selain duit hasil pendapatan sebagai tukang rumah," katanya.

Katanya, ada pihak yang ingin menghulurkan bantuan tetapi ditolaknya secara baik dengan alasan ada ramai yang diluar sana yang memerlukan bantuan dan dia masih mampu menyara isterinya dengan sempurna dengan sumber yang ada.