• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

30 Pasukan Rebut Piala Penyelaras DUN Telemong


Oleh: Shahril Aswad

HULU TERENGGANU - Sebanyak 30 pasukan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong akan berentap dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Penyelaras DUN yang dianjurkan di Padang Bola Sepak Kampung Matang dan Kampung Kepah, di sini, pada 21 dan 22 September ini.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Telemong dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Telemong, Kelab Bola Sepak Purnama FC dan Department of Arts, Culture and Sports (DACS) DUN.

Pengerusi Penyelaras DUN, Mohd Safari Abu berkata, objektif penganjurannya adalah untuk membentuk semangat muhibah dalam kalangan pemain terutama golongan belia yang datang dari seluruh pelusuk kampung dalam DUN ini.

“Selain itu, kejohanan ini adalah untuk mendekatkan Pusat Khidmat kepada anak muda dan masyarakat melalui aktiviti sukan bukannya hanya program kemasyarakatan semata-mata", Katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam majlis pengundian pasukan bertanding di Bilik Syarahan Pejabat Daerah Hulu Terengganu semalam.

Menurut Safari lagi, kejohanan berkenaan menawarkan hadiah RM1,500, piala pusingan dan medal kepada juara, manakala tempat kedua RM1,000 dan medal dan  ketiga serta keempat masing-masing bakal membawa pulang RM400 beserta medal dan RM400 tanpa medal.

Justeru itu, beliau menjemput seluruh masyarakat yang meminati sukan bola sepak hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding sambil memupuk penyatuan di kalangan komuniti setempat.

Tag: