• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

300 Pelajar Teruja Terima 'Duit Raya' Daripada MB

KEMAMAN, 11 April - Seramai 300 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Mak Lagam, Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) serta Maahad Tahfiz menerima 'duit raya' atau sumbangan khas daripada Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

Ahmad Samsuri berkata, agihan sempena Program Prihatin Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa serta sambutan Nuzul Al-Quran peringkat daerah itu bertujuan meringankan bebanan pelajar kurang berkemampuan.

"Seramai 300 orang pelajar menerima sumbangan ini bertujuan untuk membantu mereka bagi meneruskan pelajaran," ujarnya kepada media.

Turut bersama dalam program Prihatin Ramadan Bersama MB di Kemaman, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Sebelum ini program seumpama itu telah diadakan di Marang, Kuala Nerus dan Dungun sekali gus menjadikan Kemaman merupakan daerah keempat ia diadakan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menzahirkan perasaan gembira kerana dapat bersama dengan masyarakat di daerah tersebut.

"Saya telah bersama dengan masyarat di sini untuk sambutan Prihatin Ramadan dan juga pada hari ini saya turut merasmikan sambutan Nuzul al-Quran bagi peringkat Kemaman.

"Selepas ini akan ada (empat) lagi daerah yang akan saya turun untuk bersama-sama seluruh masyarakat Terengganu," ujarnya.