• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

366 Penguatkuasa JKNT Pantau 61 Lokasi Bazar Ramadan

KUALA NERUS, 27 Mac - Sebanyak 106 pasukan terdiri daripada 366 anggota penguat kuasa telah digerakkan bagi pemantauan dan penguatkuasaan di semua bazar Ramadan sepanjang Ramadan kali ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato Dr Kasemani Embong berkata kesemuanya akan memantau 7,914 pengendali makanan di 3,941 petak niaga  di 61 lokasi di lapan daerah yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, terdahulu hasil pemeriksaan 53 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri sejak Khamis, tujuh  kompaun  telah dikeluarkan.

"Kesemua kompaun bernilai RM1,100 itu dikeluarkan di Dungun membabitkan menggaji pengendali tiada latihan dan suntikan anti tifoid, pengendali makanan tiada suntikan dan tiada latihan pengendali makanan.

“Kita harap semua peniaga dapat mematuhi peraturan ditetapkan dan memastikan setiap makanan yang sampai kepada pengguna memenuhi keperluan keselamatan makanan di setiap peringkat rantaian termasuk penyediaan dan pemprosesannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Ops Keselamatan Makanan Sempena Ramadan 1444H/2023M Peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Gong Badak di sini semalam.

Dr Kasemani juga berkata, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan di pasaraya, kedai runcit dan lain-lain pembekal bahan mentah bagi memastikan bahan mentah yang dibekalkan adalah bersih serta selamat sebelum sampai ke tangan pengguna.

Sementara itu, beliau memaklumkan JKNT turut mewujudkan dua jenis kod imbasan QR bagi tujuan hebahan informasi keselamatan makanan serta bagi mengumpul maklum balas tentang tahap kebersihan premis makanan sepanjang bulan Ramadan.

"Orang ramai boleh mengimbas QR kod di bunting-bunting yang terdapat di bazar Ramadan atau laman facebook JKNT untuk menyalurkan maklumat tersebut bagi meningkatkan mutu kerja dan perkhidmatan kami,"katanya lagi.

Dr Kasemani turut menyeru pengguna agar sentiasa  amalkan konsep lihat, hidu dan rasa supaya risiko keracunan makanan dapat dielak termasuk memilih gerai yang bersih dan pengendali makanan yang beretika.