• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

42 Sekolah Pondok, Pusat Tahfiz Terima Bantuan Alat Keselamatan Kebakaran

Ghazali menyampaikan bantuan alat keselamatan kebakaran di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri, Kuala Terengganu, petang ini. Foto oleh Haridh Fadzillah Abu Kassim


Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal
Agama Terengganu mengambil inisiatif mempertingkatkan ciri keselamatan sekolah pondok dan pusat tahfiz di seluruh negeri.

Buat permulaan, 42 institusi pengajian agama yang berdaftar menerima bantuan alat keselamatan kebakaran di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri, Kuala Terengganu, petang ini.

Bantuan alat keselamatan itu antara usaha mencegah berulangnya tragedi kebakaran seperti yang pernah berlaku di beberapa pusat tahfiz serta pondok seluruh negara sejak kebelakangan ini.


Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dr. Ghazali Taib menegaskan pusat pengajian pondok dan tahfiz merupakan antara institusi yang penting dalam masyarakat dan perlu menekankan aspek keselamatan.

"Para pengusaha tahfiz dan pondok banyak berkorban masa dan harta dalam melahirkan anak-anak yang mengamalkan dan menyebar luas agama dan akhlak Islam.Namun, kebanyakan institusi ini kurang mengutamakan aspek keselamatan.

 "Disebabkan itu, kerajaan negeri mengambil langkah untuk meningkatkan ciri keselamatan di pondok dan tahfiz dengan pemberian ini," katanya ketika merasmikan majlis penyerahan tersebut.

Antara sekolah yang menerima bantuan itu adalah Maahad Tahfiz wal Dirasah Padang Air dan Maahad Tahfiz wal Tarbiah Tok Jiring.


Terdapat 160 sekolah pondok dan pusat tahfiz di seluruh Terengganu.

Tag: