• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

50 Warga Singapura Sertai Korban Perdana Di Terengganu

Tun Ahmad Faisal bersama ketua rombongan, Rogayah dan sebahagian dari peserta yang akan menyertai ibadah korban esok. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim.

Seramai 50 pelancong muslim dari Singapura dijangka akan menyertai ibadah korban sempena Aidiladha di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit pada 1 September ini.

Ketua rombongan dari Singapura, Rogayah Abdullah, 62, berkata kunjungan itu adalah yang kedua disertai olehnya.

Katanya, kerjasama dan layanan baik kerajaan negeri dan Unisza Tourism Sdn Bhd menyebabkan pihaknya meneruskan kunjungan ke Terengganu pada tahun ini.

Rogayah

"Saya amat berbesar hati apabila dapat mengerjakan ibadat korban di Terengganu buat kali kedua memandangkan pada tahun lepas semuanya berjalan dengan lancar.

"Untuk tahun ini, sebanyak lima ekor lembu dan empat ekor kambing akan dikorbankan manakala lima ekor kambing akan dibuat akikah," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Meraikan Peserta Korban Perdana Dari Singapura di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Abdul Hamid

Seorang lagi peserta, Abdul Hamid Abdul Manan, 70, berkata ibadat korban di Malaysia khususnya di Terengganu amat berbeza dengan di Singapura.

"Amalan korban di sini amat cepat jika dibandingkan di Singapura. Ianya mengambil masa hanya dua jam untuk lapan ekor lembu dan enam ekor kambing hasil kerjasama yang dilakukan oleh penduduk setempat.

"Selain itu, pembahagian daging korban juga berbeza kerana di sini setiap bahagian diambil untuk diagihkan tidak seperti di Singapura," katanya.

Tambah Hamid, jika diberi kesempatan beliau akan turut menyertai ibadat korban di Terengganu pada tahun-tahun akan datang.

Tag: