• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

512 Keluarga di Kota Putera Terima Bantuan Banjir RM512 Ribu

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Seramai 512 Ketua Isi Rumah (KIR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang menjadi mangsa banjir mengukirkan senyuman apabila menerima bantuan RM512,000 sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini berkata wang ehsan itu membabitkan mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Alhamdulillah semalam, jam 2.30 petang telah diadakan program sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Merdeka Kota Putera Square seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini.

"Dalam program Himpunan Teguh Pertahan, Menteri Besar sudah berjanji untuk membayar kepada warga Besut sebelum berkakhir Mei yang membabitkan 5,391 KIR secara keseluruhan," ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, mangsa yang tercicir untuk mendapatkan bantuan terbabit diminta tampil dan memaklumkan perkara terbabit kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan segera.

"Tindakan seterusnya akan dilakukan secepat mungkin insya-Allah, kami dari kerajaan negeri akan terus komited dalam memastikan nasib rakyat Terengganyu sentiasa terjaga.

"Diharap supaya terus bersabar dan pihak kerajaan sedaya upaya akan ikhtiarkan untuk memastikan semua mangsa banjir menerima bayaran tersebut," katanya.

Sementara itu, mengenai bantuan daripada Kerajaan Persekutuan Nurkhuzaini memaklumkan setakat ini tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan.