• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

60 Penghantar Makanan Terima Minyak Hitam Percuma

HULU TERENGGANU, 31 Ogos – Seramai 60 orang penghantar makanan bermotosikal tidak melepaskan peluang menukar minyak hitam motosikal percuma secara pandu lalu.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu bersempena dengan bulan kemerdekaan ke-64 ini menyasarkan penghantar makanan Food Panda dan Halo Delivery yang beroperasi dalam daerah itu.

Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan rider (Penghantar makanan) melalui penyelenggaran ringkas disediakan.

“Pihak kami menghargai jasa dan pengorbanan mereka bekerja dan mengharungi cabaran cuaca untuk berkhidmat kepada masyarakat dan keluarga, oleh sebab itu pihak kami mengadakan program sebegini.

“Pelaksanaan program secara besar-besaran pihak berkuasa masih lagi belum membenarkan, pihak kami hanya mampu menganjurkan usaha ini secara pandu lalu sahaja.

 

“InsyaAllah program ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan berharap agar pandemik Covid-19 ini akan kembali reda," jelasnya selepas Program Tukar Minyak Hitam Percuma Untuk ‘Rider Delivery, pagi tadi.

Menemubual seorang penghantar makanan Food Panda, Mohd Amirul Asyraf Mohd Zamri berkata, dia amat memuji dan berterima kasih kepada pihak penganjur atas kecaknaan terhadap warga kerja tersebut.

“Walaupun kelihatan kecil, namun ia sudah memadai dan sangat bermakna kepada kami yang menerimanya,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Hanafiah Abdullah, anjuran ringkas tersebut wajar dicontohi dan diteruskan oleh pihak yang berkemampuan bagi meringankan beban terutamanya buat golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. 

“Alhamdulillah, ramai daripada rakan rider saya mendapat manfaat secara langsung dalam memudahkan usaha penghantaran makanan harian," tambahnya yang juga seorang penghantar makanan Halo Delivery.

 


Tag: