• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

60 Tahun Guna Jalan Berselut Berakhir




Oleh : Khairan Mat Jusoh

MARANG, 06 Mei 2019 - Penduduk Kampung Jenang, menarik nafas lega apabila penantian selama 60 tahun untuk menggunakan jalan yang berturap dan selesa berakhir apabila kerajaan negeri menambah baik akses utama mereka itu menjelang Ramadan.

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jenang, Mustaffa Deraman berkata, jalan itu merupakan laluan utama bagi penduduk sekitar kawasan itu.

"Ucapan terima kasih penduduk kampung kepada kerajaan negeri khusunya Pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Berangan dan Pejabat Daerah Marang dengan siapnya jalan baharu ini.

"Mereka menggunakan jalan ini untuk ke tempat kerja dan menghantar anak sekolah, memandangkan jalan sebelum ini hanya tanah merah," katanya kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui di kampung itu, semalam.

Sementara seorang penduduk kampung, Roslan Ab Rahman 45, memberitahu perubahan itu amat dinanti penduduk kerana mereka sudah melalui kesukaran menggunakan laluan yang tidak selesa sejak sekian lama.

"Dulu susah bagi orang-orang di sini nak lalu dengan keadaan jalan yang tidak rata berlekuk-lekuk dan ditambah lagi dengan selut.

"Tapi kini Alhamdulillah kerana YB (ADUN Pengkalan Berangan) luluskan jalan ini dan mudah untuk kami semua lalu, terima kasih banyak-banyak YB," katanya.


Projek menaik taraf jalan sepanjang 140 meter itu berjaya disiapkan oleh kontraktor dalam tempoh sehari.

Tag: