• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

600 Penduduk Seberang Tayur Terima Suntikan Program Outreach Vaksinasi Covid-19

KEMAMAN, 27 Ogos - Dalam menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mencapai ‘herd immunity’ dalam kalangan penduduk Malaysia, Klinik Kesihatan Seberang Tayur dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih telah menganjurkan program Outreach Vaksinasi Covid-19 baru-baru ini.

Bertempat di Klinik Kesihatan Seberang Tayur, dicatatkan sebanyak 600 suntikan vaksin berjaya diberikan kepada penduduk di sekitar Seberang Tayur sepanjang dua hari berlangsungnya program tersebut. 

Program itu menyasarkan penduduk di kawasan Kampung Seberang Tayur Hulu, Kampung Seberang Tayur Hilir dan Felda Seberang Tayur. Golongan yang disasarkan bagi program tersebut adalah mereka yang berusia 18 tahun ke atas dan merupakan penerima vaksin bagi dos yang pertama.

ADUN kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemuramah berkata, Program Outreach Vaksin Covid-19 amat diperlukan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kawasan ini.

"Dengan adanya program seperti ini, sedikit sebanyak dapat memudahkan penduduk setempat khususnya mereka yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri untuk mendapatkan suntikan vaksin memandangkan kawasan ini terletak di pedalaman," katanya.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada para petugas yang terdiri daripada staf Klinik Kesihatan Seberang Tayur, sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih dan Jabatan Amal Malaysia DUN Air Putih yang telah bertungkus-lumus memastikan program ini berjaya dan berjalan dengan lancar," ujarnya.