lightning-solid
Berita :
80 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana 3.0 di Hulu Besut
80 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana 3.0 di Hulu Besut
Norekwan Mamat
6 jam yang lepas
152

BESUT, 23 Disember – Majlis Khatan Perdana 3.0 DUN Hulu Besut yang berlangsung di Masjid Lubuk Kawah semalam telah berjaya dianjurkan dengan penuh meriah serta mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Program yang melibatkan seramai 80 orang kanak-kanak ini dianjurkan sebagai salah satu usaha berterusan bagi memartabatkan tuntutan agama Islam, khususnya amalan berkhatan yang bukan sahaja dititikberatkan dari sudut ibadah, malah turut memberi penekanan terhadap aspek kebersihan dan kesihatan.

FB_IMG_1766461868198.jpg 66.13 KB

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, penganjuran majlis seumpama ini bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, bahkan berperanan sebagai persediaan awal buat kanak-kanak untuk melangkah ke alam kedewasaan.


“Khatan merupakan tuntutan dalam agama Islam yang sangat penting kerana ia melibatkan aspek kebersihan, kesihatan serta proses bersuci daripada kekotoran. Ia juga menjadi langkah awal untuk adik-adik bersedia membina jati diri dan memikul tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.


Beliau turut mendoakan agar semua peserta diberikan kekuatan semangat, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kesembuhan yang cepat.

FB_IMG_1766461860111.jpg 141.23 KB

“Saya mendoakan agar semua adik-adik yang terlibat sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat serta terus membesar menjadi anak-anak yang soleh dan berakhlak mulia,” tambah beliau.


Dalam pada itu, Mohd Husaimi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Klinik Wildan, Bomba Besut, Ahli Jawatankuasa Masjid serta JPKK Lubuk Kawah atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Majlis Khatan Perdana 3.0 ini.


Sementara itu, salah seorang bapa peserta, Mohd Anuri bin Ibrahim, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas penganjuran program berkenaan yang disifatkan sebagai satu inisiatif amat baik dan sangat membantu masyarakat kampung, terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa.

FB_IMG_1766461943343.jpg 41.22 KB

Menurut beliau, anaknya yang kini berada di darjah tiga dan bakal melangkah ke darjah empat pada tahun hadapan turut menyertai program tersebut.


“Program anjuran YB ini sangat membantu kami sebagai ibu bapa. Bayaran yang dikenakan hanyalah RM30 berbanding kos di luar atau di klinik swasta yang boleh mencecah antara RM100 hingga RM180,” katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa penjimatan kos tersebut membolehkan lebihan wang digunakan untuk keperluan lain, khususnya bagi persiapan persekolahan anak-anak.

FB_IMG_1766461949155.jpg 83.63 KB

“Dengan penjimatan ini, kami dapat menggunakan wang selebihnya untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut serta jawatankuasa penganjur dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan