• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

800 Pelumba Pamer Aksi Dalam Hujan Di Golden Monsoon Ride

SETIU, 19 Disember - Suasana hujan lebat mengujakan peminat sukan berbasikal apabila hampir 800 penunggang basikal turun beraksi dalam Golden Monsoon Ride 2021, semalam.

Sebahagian besar peserta hadir memberikan saingan dalam kayuhan santai sejauh 53 kilometer. Manakala, sebahagian lagi turun mencabar dalam acara santai dan cabaran 'off road' di trek sejauh 25 kilometer dalam ladang sawit TDM Bhd (TDM).

Cabaran off road yang bermula di Akademi TDM, Sungai Tong itu melalui lima kawasan berbukit itu menawarkan hadiah tunai RM1,500 dan sijil bagi johan, diikuti tempat kedua RM1,000, ketiga (RM800), keempat (RM500) manakala kelima hingga ke-10 masing-masing RM100.

Program berbasikal berkenaan dirintis Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) melibatkan kerjasama lima anak syarikat iaitu GPB, TDM Bhd. (TDM), Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) dan Ladang Rakyat Sdn. Bhd..

Penganjuran Golden Monsoon Ride dijangka akan menghiasi acara tradisi tahunan Kumpulan Terengganu Inc. sekali gus dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun depan.

Malah, perlumbaan bertaraf antarabangsa itu selaras dengan hasrat menjadikan Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal pada 2022.


Tag: