• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

800 Pengayuh Meriahkan Cabaran Berbasikal Monsun Marang

MARANG, 26 Disember - Seramai 800 peserta dari dalam dan luar negeri memeriahkan acara berbasikal Cabaran Monsun Marang (MMC) 2021 di sekitar daerah ini pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Persatuan Lumba Basikal Terengganu dengan kerjasama Majlis Daerah Marang itu menerima sambutan menakjubkan meskipun diadakan pada musim tengkujuh.

“Acara ini mempertandingkan empat kategori iaitu ‘Road Race’ (78 KM), ‘Mountain Bike Race’ (25 KM), ‘Women Open (25 KM) dan kayuhan santai (25 KM) yang bermula di Dataran Bandar Marang.

“Di samping kewujudan laluan berbasikal baharu di daerah ini, anjuran sebegini boleh diadakan setiap kali hari cuti dan pelepasan sama ada di peringkat komuniti setempat, daerah dan negeri.

Wajah ceria mewarnai Fun Ride MMC 2021

“Sambutan peserta daripada negeri-negeri seperti Johor, Selangor, Perak dan lain-lain lagi menunjukkan sukan ini bukan sahaja terkenal dengan atlet malah rakyat biasa juga, insya-Allah, penganjuran ini dapat diteruskan dan kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengayuh luar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas acara flag-off MMC 21, di Dataran Bandar Marang, pagi tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YM Tengku Bijaya Raja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Tambah Wan Sukairi, kejayaan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu dalam kejohanan Terbuka Negeri Sembilan meningkatkan lagi momentum dalam sukan tersebut.

“Mungkin disebabkan perhatian tinggi dan fokus diberikan panel jurulatih dan para atlet meskipun mengharungi fasa pandemik COVID-19, namun kita terus mengambil ruang dan peluang melalui latihan atas talian dan penyertaan dalam kelonggaran diberikan,” katanya lagi.