• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

917 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Batu Rakit


SETIU, 13 April – Seramai 917 penerima daripada golongan berpendapatan rendah,miskin dan miskin tegar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima manfaat menerusi kad sejahtera..

Inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun 2019 itu melayakkan golongan sasar itu menerima bantuan RM500 setahun dan merupakan manifesto kerajaan pimpinan PAS yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 yang lalu.

Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa komited bagi memastikan setiap rakyat di negeri ini menerima kemudahan untuk mendapatkan rawatan kesihatan terbaik menerusi pelaksanaan kad sejahtera itu.

Dimana katanya, mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapat rawatan dengan nilaian RM500 setahun di klinik panel terpilih bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.

“Secara tidak langsung Kad Sejahtera ini mampu memberi pilihan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta terpilih sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan.

“Kad Sejahtera ini perlu dibawa setiap kali mahu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan penggunaan maksimum RM70 setiap kali mendapatkan rawatan.

“Diharapkan semua penerima dapat manfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini,” katanya yang ditemui dalam Majlis Taklimat dan Penyerahan Kad Sejahtera di Dewan Serbaguna Wakaf Catur Maras,Batu Rakit, di sini, semalam.

Sementara itu, bagi seorang penerima Ismail Embong 65, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa memikirkan medium sesuai untuk menambah baik kesihatan dan kebajikan masyarakat setempat.

“Golongan yang berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan setiap keluarga antara golongan sasar yang layak menerima bantuan sekaligus membantu penerima untuk mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik swasta (panel yang berdaftar) berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya.


Tag: