• 24 Okt 2024 | 21 Rabiul Akhir 1446

Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk

KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kemerosotan terburuk Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2024 memperlihatkan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejatuhan tujuh anak tangga ke kedudukan 34 dan menjadi yang tercorot dalam sejarah negara itu perlu diberikan perhatian segera.

Kataya, bagi memastikan negara berkeadaan baik, pandangan serta teguran yang membina daripada pelbagai pihak harus dipandang serius.

"Saya rasa kerajaan perlu bersifat terbuka untuk menerima teguran kerana selama ini banyak perkara yang berlaku seolah-olah kerajaan menutup mata dan telinga daripada melihat apa yang disampaikan oleh mereka yang pakar tentang aspek pelaburan, tata kelola dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Tapak Pembukaan Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Amzad berkata negara kini sedang menuju ke belakang lantaran tindakan yang diambil tidak melbatkan urus tadbir yang baik.

"Diterima secara negatif oleh pasaran, misalnya kenaikan harga diesel yang terlalu mendadak seolah-olahnya dilihat tidak ada mekanisma libat urus yang baik.

"Jadi setelah dinaikkan dahulu harga diesel baru timbul satu persatu isu di kemudian hari.

"Ini merupakan susuatu yang kita bimbang memberi mesej tidak elok tentang pendekatan pentadbiran negara kita yang memberi kesan kepada daya saing negara," katanya.