• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Adun Ajil Komited Bantu Penduduk Miliki Rumah Selesa

HULU TERENGGANU, 23 Februari -Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Ajil, Maliaman Kassim komited membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut untuk memiliki kediaman selesa.

Katanya, mereka yang memerlukan sama ada untuk menaik taraf rumah atau membina baharu rumah akan terus dibantu.

"Bantuan yang disalurkan kepada penduduk yang kurang berkemampuan adalah menerusi peruntukan Program Pembangunan Terengganu Sejahtera (PPTS).

"Kita akan memastikan permasalahan rakyat yang memerlukan bantuan rumah di kawasan DUN Ajil akan sentiasa diberi perhatian," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dua buah rumah di Felda Bukit Bading, semalam.

Katanya, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, sejak dari tahun 2018 sehingga kini sebanyak enam buah rumah dibina bagi mengantikan rumah yang lama dan uzur.

"Manakala sebanyak 295 buah rumah dibaikpulih melibatkan kos sebanyak RM4,244,646.75," ujarnya.

Menurut beliau, walaupun kerajaan berdepan kekangan peruntukan bagi membina perumahan di setiap DUN namun, wakil rakyat perlu mengambil pendekatan untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan rumah.

“Apabila kita sudah bantu mereka bina rumah, mereka boleh tumpukan lebih perhatian untuk mencari pendapatan bagi menyara keluarga.

“Saya akan cuba membantu mereka sehinggga rumah siap dibina atau dinaik taraf sepenuhnya,” katanya.

Maliaman berkata, menjadi fokus beliau untuk terus membantu setiap penduduk khususnya dikawasan luar bandar yang mahu membina rumah baharu atau menaik taraf rumah sedia ada termasuk masalah rumah yang uzur berada di dalam kawasan Felda di dalam DUN Ajil.

Sementara itu, Penghulu Mukim Diman, Mohd Jefri Din berkata, kerjasama erat antara beliau dengan Maliaman menjadi segala perancangan pembangunan serta penyaluran bantuan kepada penduduk dapat dilaksanakan dengan mudah dan lancar.

"Sebelum mendapat kelulusan baikpulih, satu jawatankuasa siasatan ke tapak telah dijalankan bersama pihak Pejabat Daerah dan pihak Pusat Khidmat Masyarakat Adun," ujarnya.


Tag: